Thursday 1 December 2011

Serangan Jantung..Adakah Kita Mengetahuinya..??

Pada dasarnya, penyakit jantung adalah pembunuh senyap di kalangan wanita yang boleh diibaratkan sebagai bom jangka yang menunggu masa untuk meletup.
Menurut data yang dikeluarkan oleh Pemantauan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) Malaysia 2005/2006, faktor risiko NCD yang jelas, seperti hiperkolesterolemia, kenaikan glukosa darah, obesiti (kegemukan) dan sebagainya adalah lebih tinggi di kalangan wanita berusia 25 hingga 64 tahun berbanding lelaki dalam kumpulan usia yang sama. 

 Menurut Pakar Perunding Kardiologi, Datuk Dr. Khoo Kah Lin, yang juga Pengarah Yayasan Jantung Malaysia (YJM), penyakit jantung adalah pembunuh nombor satu di kalangan wanita di Malaysia dan di seluruh dunia sejak berpuluh-puluh tahun lamanya.
"Penyakit jantung sentiasa dianggap sebagai penyakit lelaki kerana kaum lelaki mendapat penyakit ini 10 tahun sebelum wanita.
"Wanita dilindungi daripada penyakit jantung oleh tahap estrogen yang tinggi. Bagaimanapun, ini tidak bermakna wanita 'imun' atau lali kepada penyakit ini,” jelasnya.
Tambah Dr. Kah Lin, tahap estrogen turun apabila wanita sudah menopaus atau putus haid. Tahap trigliserida dan LDL (kolesterol jahat) di kalangan wanita yang berumur juga naik, bukan sahaja disebabkan menopaus tetapi juga disebabkan kenaikan berat badan dan penuaan. Semua ini menaikkan risiko penyakit jantung di kalangan wanita.
Jadi, sebelum putus haid, risiko wanita mendapat sakit jantung adalah lebih rendah berbanding lelaki.
Namun, keadaan berubah apabila putus haid. Risiko wanita mendapat penyakit jantung kini setara dengan lelaki.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kesedaran umum terhadap kesihatan wanita, khususnya berkaitan kanser payu dara dan kanser serviks (pangkal rahim), telah meningkat.
Kini wanita lebih menyedari tentang penyakit ini dan tahu cara untuk mengambil langkah pencegahan yang perlu untuk menjaga kesihatan mereka.
Tetapi mengapa penyakit pembunuh nombor satu di kalangan wanita ini tidak mendapat perhatian yang sewajarnya?
Inilah yang mendorong Kah Lin berusaha meningkatkan kesedaran di kalangan wanita, khususnya mereka yang berisiko tinggi. Baru-baru ini, Kah Lin sempat ditemuramah tentang usahanya meningkatkan kesedaran sakit jantung di kalangan wanita dan risiko yang dihadapi golongan ini.


 Punca Penyakit Jantung - Benarkah Kolesterol? 

Saban hari kita diingatkan mengenai bahaya kolesterol, antaranya ia merupakan punca penyakit jantung. Statistik menunjukkan bahawa penyakit jantung adalah pembunuh nombor satu di Malaysia. Bilangan kematian akibat penyakit jantung di hospital Kerajaan pada tahun 2005 adalah 5,247 orang. Seperti saya, anda juga tentu percaya bahawa kolesterollah punca penyakit jantung.

Kita semua tahu yang kolesterol HDL adalah baik dan kolesterol LDL tidak baik. Kita juga tahu bahawa kolesterol LDL akan terkumpul di dinding arteri dan menyebabkan penyempitan pembuluh darah. Kolesterol HDL datang untuk membersihkan dinding arteri dari kolesterol LDL. Kita juga diberitahu semakin rendah nisbah antara jumlah kolesterol berbanding kolesterol HDL, semakin rendah risiko kita mendapat penyakit jantung. 
 
Tahukah anda bahawa kolesterol LDL sebenarnya bukan tidak baik. Kolesterol LDL dalam keadaan asal adalah baik. Badan kita memerlukannya untuk membina membran sel, bahagian sel yang lain dan berbagai-bagai hormon. Sekiranya kita tidak mendapat cukup kolesterol LDL dari makanan, badan kita sendiri akan membuat kolesterol tersebut. Yang menjadi masalah adalah kehadiran radikal bebas, yang menukar bentuk (mengoksida) kolesterol LDL dan menjadikannya tidak baik. Bekalan anti-oksidan yang cukup akan menyelesaikan masalah tersebut. Anda tidak memerlukan ubat yang mahal untuk menurunkan paras kolesterol LDL dalam tubuh anda.

Anda mungkin terkejut atau tidak percaya jika saya katakan kolesterol bukan penyebab penyakit jantung seperti yang selalu digambarkan oleh media. Mengikut kajian, penyebab sebenar penyakit jantung adalah radang pembuluh darah. Kajian yang diterbitkan dalam New England Journal of Medicine keluaran 23 Mac 2000, menunjukkan lebih separuh dari mereka yang mendapat serangan jantung mempunyai paras kolesterol yang normal. Penemuan ini merupakan satu revolusi dalam rawatan dan pencegahan serangan jantung. Daripada berusaha untuk menurunkan paras kolesterol anda sepatutnya mencari jalan bagaimana untuk mengurangkan punca yang menyebabkan radang pembuluh darah. Cara ini boleh memberi kesan besar dalam pencegahan dan pemulihan penyakit jantung.



Kolesterol LDL bukan satu-satunya penyebab masalah radang pembuluh darah. Penyebab utama radang pembuluh darah adalah sesuatu yang dipanggil homosistein dan radikal bebas. Masalah hanya akan timbul apabila kolesterol LDL dioksida oleh radikal bebas. Tanpa radikal bebas, kolesterol LDL tidak akan bertukar menjadi tidak baik. Pernahkah anda mendengar tentang homosistein? Homosistein adalah bahan yang terhasil ketika tubuh kita menghadam makanan, sama seperti radikal bebas. Masalah akan timbul apabila jumlah homosistein yang dihasilkan adalah berlebihan. Dianggarkan lebih kurang 15% dari semua serangan jantung dan strok di seluruh dunia hari ini disebabkan oleh paras homosistein dalam darah yang tinggi.

Pada tahun 1990, kajian oleh Profesor Dr. Stampfer dari Harvard Public Health School mendapati bahawa sedikit sahaja peningkatan dalam paras homosistein boleh menyebabkan peningkatan risiko mendapat penyakit jantung sebanyak tiga kali ganda. Dalam New England Journal of Medicine keluaran Februari 1995 pula, Dr. Jacob Selhub, Ph.D., melaporkan bahawa paras homosistein dalam darah yang tinggi akan meningkatkan risiko penyempitan dua arteri yang membekalkan darah ke otak (yang akan menyebabkan strok). Selain dari itu Dr. Selhub juga melaporkan bahawa pesakit yang mempunyai paras homosistein yang tinggi juga mempunyai paras asid folik, vitamin B12 dan vitamin B6 yang rendah dalam tubuh mereka.

Kalau dulu dipercayai bahawa punca penyakit jantung dan strok adalah kolesterol, kajian-kajian dijalankan di abad ke 21 telah membuktikan bahawa homosistein merupakan puncanya. Namun begitu kita tidak perlu bersusah hati kerana masalah tersebut dapat diatasi dengan mengambil bekalan anti-oksidan, asid folik, vitamin B12 dan vitamin B6 yang cukup.



 

No comments:

Post a Comment